Tuesday, October 26, 2010

Kancil Ayah Kembali

Alhamdulillah, petang tadi ayah dapat panggilan dari pihak polis. Panggilan yang ditunggu-tunggu selama ini. Panggilan yang memberikan khabar gembira. Aku menjawab panggilan itu lantas segera menyerahkan kepada ayah. Ketika bercakap, tergambar keriangan dari wajah ayah. Aku tahu itu berita gembira. Kereta ayah sudah ditemui. Syukur. Terima kasih ya Allah kerana memperkenankan doa hambaMu yang benar-benar berharap.

Hampir dua minggu. Ayah dan mak tahu harapan semakin tipis. Beberapa hari lepas, aku, ayah dan along keluar meninjau ke tempat menjual kereta terpakai. Mencari kereta baru. Kereta satu keperluan bagi ayah dan mak. Dulu kereta Kancil tu selalu digunakan untuk bawa jemaah pergi solat jenazah dan pelbagai kegunaan lagi. Kereta itu banyak jasanya pada aku dan keluarga.

Ayah dan mak tak serahkan tanggungjawab itu sepenuhnya pada pihak polis. Mereka juga perlu berusaha dan berikhtiar. Dan sebagai seorang yang bergelar Muslim, bantuan dari Illahi yang paling didambakan. Solat hajat, bacaan Yaasin dan doa yang berterusan dengan satu harapan agar kereta Kancil putih bernombor plat PEL3036 ditemui semula. Ayah juga ada memaklumkan pada imam masjid pada ketika beliau mengimamkan bacaan Yaasin di masjid. Besar harapan ayah agar kereta itu ditemui semula.

Sebelum ni, ada maklumat diterima yang kereta tersebut ada di Changlun. Di sebuah kampung dan berada dalam kawasan kebun getah. Along pergi mencari dengan kawan-kawannya pada keesokan harinya. Tapi hampa. Beberapa hari selepas tu, ayah ada menemui seorang guru selepas disuruh oleh seseorang. Ayah pergi bersama along dan anaknya, Aiman. Setelah memaklumkan tujuan ke situ, tok guru tersebut menunaikan solat 2 rakaat. Apabila selesai, dia memaklumkan yang mencuri kereta ayah itu seorang lelaki berbadan gempal, berbaju hitam. Kemudian dia memberitahu langkah-langkah yang perlu ayah lakukan supaya si pencuri tersebut menghantar kembali kereta yang dicuri. Seterusnya serahkan pada Allah untuk 'kerja' selanjutnya.

Hari ini, harapan itu menjadi kenyataan. Kereta 'dihantar' kembali walaupun agak jauh dari tempat yang dicuri. Tayar dan rim dicuri dan digantikan dengan yang buruk namun kegembiraan jelas bertandang dalam diri ayah. Alhamdulillah.

Terima kasih ya Allah. :)

2 comments:

Ninja Jepang said...

Alhamulillah kalau macam tu.. I'm happy for ya.. :-)

zahier said...

huhu tq nik :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...